IKHLAS Umpama Semut Hitam Dia Atas Batu Hitam Di Malam Kelam
Sebuah perumpamaan yang biasa kita dengar kan? Satu perumpamaan yang biasa digunakan setiap kali isu ‘ikhlas’ dibangkitkan. Bagi yang biasa melafazkan atau berpegang pada perumpamaan ini, apa yang cuba diluahkan adalah ikhlas itu tidak terlihat oleh orang lain. Yang mengetahui ikhlas itu hanyalah empunya diri dan Tuhan Yang Maha Mengetahui. Soalnya, cukupkah pemahaman ini? Teguhkah dengan berpegang pada pemahaman ini? Atau mungkin yang lebih persis, selamatkah kita dengan melafazkan kata-kata ini dan menyebabkan empunya diri yang melafazkan rasa ‘ikhlas’ itu serba salah?
Suka saya berkongsi pemahaman tentang perumpamaan ini. Renungkan dan tegurlah saya jika saya salah. Yang penting, sama-sama kita berubah...
Semut Hitam : Sangat kecil sehingga tidak kelihatan. Hadirnya seolah tidak wujud. Apa la nilai si semut hitam jika dibandingkan dengan besarnya batu. Dirinya tidak memberi apa kesan pun ke atas batu. Sungguhpun hadirnya dalam kelompok yang banyak.
Semut Hitam umpama ‘ikhlas’. Hadirnya walaupun mungkin bukan sekali ia ada, tetapi berkali-kali, langsung tidak disedari...
Batu Hitam : Tersangat keras. Dari saat pertama si semut hinggap di atasnya sehingga si semut mungkin mati, ia tidakkan pernah merasa wujudnya si semut padanya.
Batu Hitam umpama diri insan yang ditunjukkan rasa ‘ikhlas’. Dirinya sangat keras sehingga dia ia tidak merasa ‘ikhlas’ itu. Atau mungkin dirinya tidak pernah menghiraukan hadirnya ‘ikhlas’ itu...
Malam Kelam : Kelamnya dan suramnya malam itu sehingga menyebabkan wujud semut tidak disedari. Sungguhpun si semut tetap ada, tiada gunanya kerana gelap malam menyebabkan ia seolah-olah tiada. Bagi mereka yang tidak pernah mengetahui atau merasa hadirnya semut di situ, logik bagi mereka merasa semut tiada di situ. Atau mungkin merasa tidak akan percaya wujudnya semut di situ. Bayangkan bagi pendatang baru. Semestinya mereka tidak akan tahu wujudnya sang semut di situ.
Malam Kelam umpama masyarakat. ‘Suramnya’ masyarakat menyebabkan ‘ikhlas’ semakin hilang dari persepsi seseorang. Gejala masyarakat menenggelamkan ‘ikhlas’ dari mata seseorang. Ramai hari ini, seolah-olah tidak percaya wujudnya ikhlas melainkan mereka pernah merasa ‘ikhlas’ itu. Bayangkan generasi muda yang baru dalam masyarakat yang tidak pernah merasa ‘ikhlas’. Melihat pada keadaan masyarakat hari ini, logik bagi mereka untuk tidak mempercayai ‘ikhlas’. Logik bagi mereka untuk merasa tiada unsur ‘ikhlas’ dalam masyarakat.
Awak, kasihan kepada mereka yang ‘ikhlas’. Kerana ‘ikhlas’ yang cuba mereka tunjuk tidak terlihat dan tiada nilai... Kasihan bagi mereka yang mencari-cari ‘ikhlas’. Kerana mereka mungkin tidak akan menjumpai ikhlas itu...
Soalnya, salah siapa? Salah mereka yang cuba meluahkan ‘ikhlas’ ke? Hanya kerana ‘ikhlas’ itu abstrak dan hanya ‘ikhlas’ itu tidak dapat ditafsir pada fizikal? Salah mereka (kita) yang tidak pandai mentafsir ‘keikhlasan’? Hanya kerana kita tegar hati dengan ingatan supaya tidak mudah tertipu? Atau mungkin salah masyarakat (kita lagi) kerana mencemarkan imej masyarakat (kita) sendiri dengan menipu dan mengambil kesempatan atas kepercayaan orang lain?
Sama-sama kita fikirkan walaupun kita sudah tahu jawapannya. Fikir dalam-dalam dan mulalah bertindak. Sudah banyak yang kita khianati. Sudah ramai yang tersiksa batinnya kerana perbuatan khianat kita.
Awak, ‘ikhlas’ satu benda yang sangat abstrak. Hanya kepercayaan mampu mentafsirnya. Dan kepercayaan teramat sensitif kerana sedikit khianat mampu menyebabkan kepercayaan goyah dan mungkin lupus terus dari seseorang insan.
Mulalah berubah menjadi ahli masyarakat yang baik. Ajaklah kawan sekeliling berbuat perkara baik. Kembalikan kepercayan semua orang ke tahap yang optimum sebelum semuanya terlambat dan semua hilang rasa percaya akan orang lain dan melenyapkan terus ‘ikhlas’ dari kehidupan manusia.
Awak, jadilah ahli masyarakat yang berguna. Caranya sangat mudah. Ikhlaskan diri awak dengan sebenar-benar ikhlas. Jangan pernah cuba untuk mengambil kesempatan terhadap orang sekeliling. Jangan hancurkan kepercayaan orang lain.
AZHAN AZIZ
Sekali-Sekala Menulis, Mana Cukup Satu
5 weeks ago
Kak, mcm knal jak artikel tok...
ReplyDeleteMakaseh ho...
Mun kak mok baca artikel2 meq yg lain2, g jak blog meq...
(haikal2aisyah.blogspot.com)