Saturday, August 25, 2012

Satu Saat Satu Ketika

“Sungguh, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai akal.  (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, yang menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yusuf Ayat 111).


Daripada Allah kita datang dan kepada Allah juga kita kembali. Sesungguhnya, cinta pada bunga, bunga akan layu, cinta pada manusia, manusia akan mati  dan mengecewakan. Cinta yang sebenar-benarnya kekal abadi adalah cinta kepada Allah, Pencipta Sekalian Alam.  Tulisan ini bukan untuk mengutuk sesiapa atau menyalahkan takdir..Tidak dan bukan semata-mata kerana duniawi. Semuanya kerana muhasabah diri dan peringatan kepada jiwa ini jua.

Sebagai manusia biasa, dalam hati ini sentiasa berasa keluh kesah apabila ditimpakan dengan bebanan perasaan. Diri ini pernah mendengar bisik-bisik kecil berkaitan dengan kisah silam saya namun kepada Allah juga tempat saya mengadu kerana Allahlah yang Maha Memahami apa yang berlaku dalam diri saya. Kepada Allah juga saya meminta ampun sekiranya semua rasa bebanan ini berpunca daripada kesilapan saya yang lepas. Saya juga manusia lemah, asalnya dahulu bukanlah baik seperti malaikat. Saya juga melakukan kesilapan yang saya kerap kali saya ulang. Kadang-kadang hati saya jadi terlalu rapuh, terlalu lemah hingga pada satu saat saya jadi lemas dan rasa ingin berputus asa.  Astaghfirullah.. Walau baru sekejap tadi saya tunduk sujud, namun beberapa minit kemudian saya boleh jadi leka dengan fatamorgana duniawi. Saya paling lemah apabila berhadapan dengan dugaan perasaan. Kadang-kadang saya mengeluh sampai kapan harus saya tanggung rasa sakit ini. Saya jadi takut berhadapan dengan masa depan kerana saya merasakan sangat mengecewakan; malah mendukacitakan. Menangis hingga keluar air mata darah pun tidak dapat mengubat rasa sesal saya terhadap apa yang menimpa diri ini. Seakan-akan saya telah disumpah untuk dikecewakan oleh insan yang bergelar lelaki. Oh, betapa sempitnya pemikiran dan sesaknya dada saya saat ini.

Sampai satu masa, sedang saya berusaha untuk mendekatkan diri kepada Yang Esa, saya membaca surah Yusuf yang menceritakan tentang kisah hidup Nabi Allah, Yusuf A.S. Nabi Yusuf sedari kecil lagi sudah ditimpa pelbagai dugaan. Dibuang oleh keluarga, dijual menjadi hamba, difitnah kerana hawa nafsu wanita dan dipenjara atas kesalahan yang bukan memihak kepadanya. Bayangkan berapa tahun Allah menguji Nabi Yusuf tetapi Nabi Allah bersabar dan tetap percaya dengan takdir dan kasih sayang Allah. Berkat kesabaran dengan setiap dugaan yang ditimpa Allah, akhirnya Allah menggantikan semuanya dengan berlipat-lipat kali ganda. Allah kurniakan Nabi Yusuf dengan ilmu mentakwil mimpi maka setelah itu Baginda diangkat menjadi salah seorang Pembesar Mesir. Allah pertemukan semula Nabi Yusuf dengan ayahanda, Nabi Yaakub dan saudaranya Bunyamin.  Daripada gambaran cerita yang dibaca daripada tafsir Al-Quran, tiba-tiba timbul satu ilham dari dalam diri saya.  Sedangkan Nabi Allah yang sentiasa dalam lindungan Allah pula diuji dengan ujian yang sebegitu hebat dalam hidupnya, mengambil masa bertahun-tahun untuk merasa kebahagiaan, inikan pula saya, hamba Allah yang maha kerdil lagi berdosa. Sedangkan nabi Allah Muhammad s.a.w solat taubat nasuha tiap-tiap malam walaupun baginda seorang yang maksum, apatah lagi diri ini yang serba kerdil lagi hina ini.

Terus hati jadi malu. Diri rasa kerdil apabila mengenangkan betapa saya tidak pernah bersyukur dengan dugaan yang diberi. Betapa lemahnya iman di dada telah menutup mata hati untuk melihat kebaikan Illahi. Dugaan yang Allah datangkan kepada saya bukannya bermaksud untuk merendahkan martabat kita atau mematahkan semangat kita untuk terus hidup, tetapi dugaan ini adalah tanda kasih sayang Allah pada hambaNya. Dia rindu dengan rintihan hambaNya. Kerana Dia tahu hati seorang menjadi lebih dekat pada Penciptanya ketika dalam duka, maka Dia kirimkan sedikit rasa sedih kepada hambaNya supaya hambaNya ini lebih banyak meminta kepadaNya. Saya rasa Allah sentiasa sayangkan saya kerana Allah benarkan saya bangun pada setiap kali saya tidur kerana dia tahu, bahawa hambaNya ini belum puas untuk bersujud meminta ampun atas dosa-dosa silamnya.  Benarlah apa yang dinyatakan dalam surah Yusuf ayat 111 seperti yang dinyatakan pada awal kalam tadi. Bahawa dalam Al-Quran itu ada cerita yang boleh diambil pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Ya, saya kan punya akal untuk berfikir.
Jadi, kini saya harus bangkit dan terus berdiri. Saya mungkin akan melupakan beberapa deretan dalam kisah hidup sepanjang 5 tahun saya berada dimaktab ini seperti mana saya melupakan beberapa kisah saya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Seakan-akan saya tidak pernah mengalami saat tersebut kerana memori saya mungkin akan memadamkan ingatan saya tentang kisah hidup saya yang sedikit menyakitkan ini. Entah, saya tidak tahu adakah saya patut berterima kasih terhadap masa silam saya kerana menjadikan saya lebih matang dalam menghadapi dugaan hidup.  Mungkin pada saat ini saya harus berhenti untuk meminta maaf dan harus lebih menghargai diri sendiri.. Memang rasa ini saya akan ambil masa yang agak lama untuk ubati kerana dua kali terjelepok  pada tempat yg sama namun saya tetap berdoa semoga saya memperoleh jodoh yang lebih baik seperti Irma Hasmie dan Redza.. :) Saya juga berasa sedikit bersyukur kerana saya pernah niatkan perasaan saya dulu sayang kerana Allah dan mungkin kerana itu, saya berasa sedikit lega. Ya, Allah tahu bahawa perasaan ini tidak halal bagi kami.

Mungkin pada satu ketika nanti saya akan ketawa dan malu sendirian atas segala perbuatan bodoh yang saya lakukan demi untuk mengambil hati seorang manusia. Mungkin saya akan berasa sedikit menyesal kerana mensia-siakan masa remaja saya dengan perasaan cinta pada manusia yang tiada berbalas ini kerana mungkin dalam masa 20 tahun akan datang, saya akan kembali membuka blog ini untuk membaca coretan-coretan lama yang telah saya tulis. Sepatutnya ketika saat ini saya harus bertungkus lumus menyiapkan laporan dan artikel penyelidikan tindakan saya dan bukannya membebankan perasaan dengan perkara yang tidak berfaedah. Saya yakin saat ini dia pun tidak sedikit pun terfikir tentang saya. Makanya, sekarang saya harus mengakhirkan catatan ini dan memulakan kisah baru dalam hidup saya walaupun tinggal 4bulan lagi untuk menjadi seorang guru pelatih di maktab ini. Saya tidak ingin sejarah jahiliah saya ketika Form 5 berulang kembali. Akhir kalam, terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa berdiri di belakang saya. Walaupun kalian semua tahu bahawa saya telah mengambil keputusan yang salah, namun saya bersyukur kerana kalian sentiasa ada saat saya memerlukan teman untuk menangis..Salam sayang buat keluarga dan semua sahabat yang saya sayang kerana Allah. Segala yang baik datangnya dari Allah dan segala yang buruk lahir daripada saya sendiri.

No comments:

Post a Comment