aku malu
Sunday, March 4, 2012
Wasiat Buat Teman
aku malu
Jika Aku Jatuh Hati
Tips Dari Madu;)
Ujian Bukan Sekadar Menguji
Selalu orang cakap hidup bagaikan roda. Tak selalunya kita di atas. Mungkin esok lusa kita di bawah. Tapi adakah itu alasan untuk kita terus mengalah?
Cuba fikirkan kembali ketika kita masih muda, mungkin semasa kita kanak-kanak? Bukankah hidup ini mudah dan seronok bagi kita? Semuanya adalah mungkin, boleh saja dilakukan jika ada kemahuan.
Tapi dalam kita membesar, perkara-perkara yang dahulunya mudah belaka telah menjadi susah lagi menyusahkan. Kenapa ya?
Mungkinkah kita telah dewasa dan mengetahui bahawa betapa susahnya untuk merealisasikan sesebuah perkara?
Ujian untuk Menguji.
Ujian dan dugaan yang menimpa, bukanlah sesuatu yang dapat kita ketahui sebelumnya ianya berlaku.
Allah taala menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya boleh terima. Maka sabar dan senyumlah. Lain orang lain ujiannya.
Allah taala takkan menguji hambaNya jika hambaNya itu tidak mampu. Maka jika kita terpilih untuk melalui ujian itu tempuhlah dengan penuh redha dan tawaduk.
"Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai kita gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita, lebih baik daripada perancangan manusia untuk diri sendiri.
Namun, kita hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, kita terpaksa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga kita mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.
Sesungguhnya, jalan menuju syurga itu adalah dengan kesabaran. Sebab itu, Nabi telah bersabda : "Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa."
Ya Allah, bila membacanya entah mengapa hati rasa berbunga-bunga. Para sahabat sahabiah dulu, mereka sangat risau bila diri diuji. Mungkin ada yang mahu diuji dan ada yang takut bila diuji.
Namun dengan segenggam kepercayaan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu pikul. Dan ya, kehidupan sememangnya mengajar erti redha, sabar, tawakal, berharap pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan bermacam-macam lagi.
Banyak saja cara Allah nak didik kita. Nak tarbiyyah kita. Semoga Allah akan terus mendidik kita ketika iman masih menebal. Mudahan perasaan cinta kita kepada sang Khaliq akan semakin bertambah.
Jarak Antara Tulung Rusukku Yang Belum Diketahui..
Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.
Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.
Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia